Thursday 29 December 2011

Tribute kepada Franky S, sang pencinta alam



Tahun 2011 secara peribadi saya kehilangan seorang tokoh besar dalam dunia seni, iaitu penyanyi Indonesia, Franky Sahilatua, 57 yang meninggal dunia. Franky Hubert Sahilatua atau Franky S tidak dikenali di Malaysia, tetapi saya akan huraikan kenapa dia sangat istimewa di pandangan mata saya sebagai seorang peminat.

Dalam 40 tahun berkarya, Franky telah menghasilkan lebih kurang 30 album, kebanyakannya duet bersama adiknya, Jane. Secara umumnya lirik lagu-lagu Franky terbahagi kepada tiga kategori; kehidupan marhaen, kritik sosial dan kecintaan kepada alam sekitar, disamping lagu-lagu cinta.

Kehidupan marhaen dan kritik sosial tidaklah asing bagi mereka yang meminati lagu-lagu Indonesia kerana ia biasa didengar dalam lagu-lagu Iwan Fals, Leo Christy, Gombloh atau Ebiet G Ade. Kerana itu, rencana ini akan menyentuh satu aspek lain yang sangat istimewa dari penyanyi kelahiran Surabaya ini -- kecintaan kepada alam sekitar.



Franky adalah satu-satunya penyanyi yang begitu komited membicarakan alam sekitar dalam lagu-lagunya berbanding penyanyi-penyanyi lain. (Saya hanya membanding dengan penyanyi-penyanyi nusantara, kerana saya tidak meminati lagu-lagu Inggeris). Ya, penyanyi-penyanyi lain juga menceritakan tentang alam, tetapi kebanyakannya alam digambarkan sebagai latar belakang menghiasi tema cinta atau ada juga yang menghasilkan tema alam sekitar untuk satu album, kemudian kembali semula ke tema biasa.

Franky berbeza, dalam lagunya alam adalah subjek, bukan hanya hadir sebagai objek. Dia konsisten, bukan hanya pada satu album tapi sepanjang kariernya. Lagu-lagunya menyentuh keperihatinan, kecintaan dan kepekaan terhadap tumbuhan, hutan, bunga, sungai, bukit, gunung, perladangan dan sebagainya.

Lihat sahaja puluhan tajuk lagu-lagunya seperti seperti Musim Bunga, Menyambut Musim Petik, Malam di Gunung, Lambaian Perdu, Kepada Angin dan Burung-burung, Panen Telah Datang, Pemetik Daun Jati, Orang-orang Bukit.

Begitu juga lagu Kubis Kacang Kentang Jauh Disana, Siti Julaika Buruh Pabrik Gula, Nyanyian Hutan Pagi, Diatas Viaduk Cikapundung, Di atas 7000 Ribu Kaki, Pada Bukit Pedesaan, Ketika Alam Murka, Di Kaki Gunung dan sebagainya.

Lagu "Di atas 7000 Ribu Kaki" contohnya mengisahkan perihal pendakian untuk mendapat sejenis bunga, iaitu Edelweiss yang hanya hidup di atas ketinggian tanah 7000 kaki. Lagu Menyambut Musim Petik menggambarkan suasana riang dalam sebuah kampung ketika menyambut musim menuai. Senikatanya: "Berjalan membawa pulang, hasil ladang mereka, terasa lega di hati, tak ada bencana di musim ini.."

Lagu "Malam di Gunung" memberi ingatan kepada manusia yang sering menzalimi alam dengan rangkap: "Janganlah kau merosak rimbun pepohonan, biar semua itu seperti adanya, agar kita semua bisa menikmati." Lagu Musim Bunga" "Ramai-ramai perempuan desa, dengan keranjang di atas kepala, Burung-burung yang berkicauan, menemani mereka memetik bunga."

Pada lagu Lambaian Perdu dia merakam senario di kampungnya setelah baru pulang dari kota: "Berdiri di pinggir kali, memandang bukit berbaris, ...lambaian-lambaian perdu, kerbau-kerbau rebahan..."

Di atas adalah sebahagian contoh senikata dari sebahagian banyak lagu-lagu beliau. Saya tidak pernah melihat senikata mengenai keakraban alam yang begini mendalam dalam lagu dari penyanyi lain.

Pemergiannya di Rumah Sakit Medika Permata Hijau, Jakarta Barat pada 20 April meninggalkan titik kosong dalam ruang musik di hati saya kerana lagu-lagunya sangat terkesan. Pada saya, lagu-lagu Franky bukan sekadar menghibur, tetapi ia pengisi jiwa.

Franky meninggal setelah setahun melawan sakit barah sum-sum tulang. Saya sedikit kesal kerana menangguh-nangguh lawatan untuk menziarahi beliau ketika dirawat di Singapura kerana itu tak sempat bertemu dia. Sebelum itu, ketika dia masih sihat, saya sempat berhubung dan berchating dengan dia dalam facebook dan sudah mengatur rencana untuk bertemu beliau di Jakarta, tetapi tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayangi dia.

Selamat tinggal Franky, lagu-lagu mu tetap subur menghijau dan penuh warna seperti musim bunga di hati ku.


No comments:

Post a Comment