Thursday 17 November 2011

Wawancara dengan Suara Keadilan sedikit masa dulu

INTRO: Buku-bukunya di haram, pejabatnya sering diserbu, kilang yang mencetak buku beliau diserbu dan dia ditangkap serta di masukkan ke lokap. Namun iti tidak pernah melemahkan beliau untuk terus berkarya. Itulah kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.


Malah atas kecekalan ini, pada Julai lalu dia diberi anugerah 2011 Award for Courage in Editorial Cartooning (Keberanian Dalam Melukis Kartun) oleh Cartoonists Rights Network International (CRNI), sebuah pertubuhan hak asasi yang mewakili 600 kartunis seluruh dunia. 


Seperti kata Pengarah CRNI Dr Robert Russell, kulaiti Zunar sebagai kartunis adalah apabila menghadapi tekanan dari kerajaan, beliau sentiasa melawan kembali. Suara Keadilan menyorot lebih dekat minda kartunis kontroversi ini.

SOALAN: Apa situasi negara kita sekarang?

Negara kita diperintah oleh golongan kapitalis dan penguasa rakus. Rasuah, pelanggaran hak asasi, penindasan, fitnah berleluasa. Agama diputabelitkan dan ketegangan kaum diperbesarkan bagi mengekalkan kuasa pemerintah.

Rakyat telah bangkit, tetapi saya kesal dengan golongan yang berdiam diri, tidak ambil berat dan berkecuali. Ketika sesebuah masyarakat atau negara dilanda krisis moral seperti di Malaysia, kita mesti membantu golongan yang tertindas. Berkecuali bererti membantu golongan zalim untuk meneruskan kerakusan mereka.

SOALAN: Bagaimana pandangan saudara mengenai seniman di Malaysia?

Kini saya nampak semakin ramai seniman yang bangkit menyatakan pendirian dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan umum - Pak Samad, Dinsman, Hishamuddin Rais, Bob Lokman, Nasir Jani, Pyan Habib, Rahmat Haron dan lain-lain. Tapi terlalu ramai seniman masih lena dibuai mimpi dan ganjaran material.

SOALAN: Mereka harus bagaimana?

Yang bernama seniman - penulis, pelukis, pengarah filem, penyanyi, pelakon, aktivis teater, kartunis dan sebagainya harus ingat bahawa mereka adalah golongan istimewa kerana dilahirkan dengan bakat kurnian Tuhan. Bakat tidak diberikan percuma, ia datang berserta tanggung jawab yang amat berat. Apakah tanggungjawab ipara seniman? Seniman mesti menjadi golongan yang paling dekat dengan rakyat.

Seniman mesti rasa denyut nadi rakyat, dengar suara rakyat, perihatin penderitaan rakyat dan perjuangkan nasib rakyat. Dan ia tidak berakhir disitu - rintihan dan keluhan ini mesti diterjemahkan dalam karya-karya mereka. Tidak memadai di mulut sebut perihatin, manakala karya mereka menyokong penguasa yang menindas rakyat.

Sekiranya ini tidak dilakukan bererti seseorang seniman itu gagal menunaikan tanggung jawab dan amanah bakat yang diberikan Tuhan kepada mereka.  Singkap sejarah perjuangan, kita temui nama-nama seperti Victor Jara (Cuba), Johanes Thambajog, Rendra (Indonesia), Remmy Assam (Mesir), Joan Baez (Amerika) dan sebagainya. Kita perlu lahirkan seniman seperti itu.

SOALAN: Saudara mungkin idealis, tetapi ini sukar dilakukan di negara kita dimana media dan pentas penyiaran dikuasai pemerintah. 

Tidak ada pilihan dalam melaksanakan tanggungjawab! Seniman harus jadikan rintangan-rintangan yang disebutkan tadi sebagai cabaran dan bersatu merobohkan bentengnya. Saya risau apa yang disebutkan  rintangan itu sebenarnya dijadikan alasan untuk terus menyokong golongan yang zalim.

SOALAN: Adakah ini pendekatan yang digunakan saudara?

Melalui kartun saya tekankan soal pendirian. Untuk memperlihatkan pendirian dalam sebuah kartun yang lucu memang sukar, tetapi itulah yang saya lakukan. Dalam mencari idea, langkah pertama yang saya lakukan ialah mamahami isu dari berbagai sumber informasi dan berbagai perspektif.

Saya baca akhbar, internet, rujuk sejarah dan sekiranya isu itu menyentuh orang yang saya kenal, saya akan menefon beliau dan mendapatkan maklumat sebenar. Ada kalanya saya hadir di lokasi seperti di mahkamah dan di perhimpunan aman untuk mengetahui lebih lanjut perspektif dari mereka yang terlibat.

Melalui informasi ini, saya mengambil pendirian mengenai isu tersebut. Selepas itu barulah mencari idea jenakanya. Idea yang dihasilkan mestilah selari dengan pendirian yang saya telah ambil. Saya tidak akan melukis sekiranya jenaka yang saya dapat itu bertentangan dengan pendirian saya - saya tegas dan tidak bertolak ansur dalam soal ini dari awal saya berkarya hingga sekarang.

No comments:

Post a Comment